Friday, January 25, 2008

Arus tajdid: kebangkitan Dunia Islam

Dunia kita hari ini menyaksikan percambahan insan yang mempunyai semangat serta kesedaran Islam yang membawa kepada keinginan untuk mengemban juga menebarkan risalah dakwah ini kepada umat manusia seluruhnya. Sebahagian individu-individu ini ada yang memilih untuk membentuk ataupun menyertai mana-mana kelompok atau gerakan dakwah yang sedia ada. Namun ada juga di kalangan mereka ini memilih untuk berjuang secara sendirian ataupun tidak terikat dengan mana-mana organisasi dakwah lantaran merasakan mereka lebih bersesuaian memberikan yang terbaik dalam keadaan sedemikian. Apapun, kita menghargai segala bentuk sumbangan yang diberikan terhadap Islam tanpa mengira apa bentuk gerak kerja dakwah yang mereka lakukan, selagimana ianya masih berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (menegakkan agama) Allah, nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.” (Surah Muhammad, 47:7).

Malangnya, dalam keadaan semangat Islam yang bergejolak dalam diri mereka untuk meninggikan kalimah Allah, seringkali ada yang tersasar atau terbabas dari landasan al-Quran dan al-Sunnah. Seringkali ada yang bersikap melampaui batas (Ifrat) dan juga cuai (Tafrit) dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Keterbabasan ini disebabkan kurangnya ilmu serta kefahaman yang benar terhadap Islam, sikap bermalas-malasan, kesombongan, fanatik dan menjadi blind follower terhadap sesuatu pegangan.

(Lihat: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Membela Islam Tanggungjawab & Disiplin, Terbitan Karya Bestari, rujuk buku ini untuk perbahasan yang lebih lanjut)

Metodologi Dakwah: Keseimbangan antara Elemen (Tashfiyyah) Pemurnian & (Tarbiyyah)Pembinaan

Islam merupakan suatu agama yang bersifat pertengahan (wasotiyyah) dalam segenap segi. Termasuk juga dalam hal ini adalah etika dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar ataupun dakwah. Konsep/ metodologi dakwah dalam Islam memerlukan 2 elemen penting iaitu tashfiyyah (pemurnian) dan tarbiyyah (pembinaan/pendidik an) berjalan serentak. Inilah yang telah dicontohkan baginda Nabi SAW dalam menggerakkan kerja dakwah, seperti yang diserukan oleh al-Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani r.h:

“Menjadi tugas kita hari ini untuk merealisasikan 2 hal yang saya namai dengan Tashfiyyah (pemurnian) dan Tabiyyah (pendidikan/ pembinaan) . Kami mengajak para da’i islam untuk mengatasi perselisihan yang terjadi antara mereka di dalam manhaj (cara beragama) dan prakteknya berlandaskan 2 hal tersebut...
Maksud dari Tashfiyyah adalah: Kita murnikan Islam dari segala sesuatu yang masuk dan merosakkan islam, yang jumlahnya terlalu banyak untuk disebut. Dan ini membutuhkan kerja keras dari para ahli ilmu (untuk memurnikannya kembali).

…yang selanjutnya diteruskan dengan pokok kedua iaitu Tarbiyyah.”

(Lihat: Muhammad Nashiruddin al-Albani, Fatawa al-Madinah al-Munawwarah, Edisi terjemahan Fatwa2 Syaikh Nashiruddin al Albani, terbitan Media Hidayah, m/s 119-121)

“…memfokuskan pada 2 point mendasar yang merupakan kaedah perubahan yang benar. Keduanya adalah tashfiyyah (pemurnian) dan tarbiyyah (pembinaan), kedua hal ini mesti berjalan bersama-sama sekaligus…

…memperbaiki aqidah, Ibadah, akhlak dan muamalah…

…serta kita harus mendidik orang-orang di sekitar kita dengan tarbiyyah yang benar dan lurus…

Oleh kerana itu, wajib atas kita untuk mengajak kaum muslimin kepada da’wah, untuk memahamkan mereka kepada Islam yang benar dan mendidik mereka dengan tarbiyyah yang benar.”

(Lihat: Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Tauhid Awwalan Ya Du’atul Islam, Edisi terjemahan Tauhid Prioritas Utama dan Pertama, tebitan Darul Haq, m/s 41-45)

Penumpuan secara berlebihan sehingga mengabaikan salah satu dari kedua elemen tersebut bakal menyebabkan kerja dakwah serta wajah Islam ini menjadi cacat. Bahkan di suatu sudut, ia boleh menyebabkan timbulnya fitnah terhadap Islam dan menjadikan masyarakat menjauhi Islam. Banyak kes berlaku dalam hal ini yang menjejaskan perkembangan Islam yang tulen di kalangan masyarakat.

(Lihat: Syaikh Hasan Ali al-Halabi, Tashfiyyah dan Tarbiyyah: Upaya Meraih Kejayaan Umat, Edisi terjemahan terbitan Pustaka Imam Bukhari, Solo, 2002 untuk perbahasan yang lebih lanjut)

Keterbabasan: Antara Ifrat (melampau) atau Tafrit (cuai)

Malangnya, ramai yang bersikap tidak seimbang dalam melaksanakan kedua-dua elemen dakwah ini. Lihat sajalah, ada individu yang mengaku diri mereka sebagai pengikut dan pengamal sunnah (ataupun lebih ‘dikenali’ masyarakat sebagai Salafi) begitu sibuk menumpukan usaha kepada pembasmian bid’ah dan penegakkan sunnah dalam ibadah khususiah, namun dalam masa yang sama mereka bersikap dan bertindak jauh dari realiti serta rangkuman maksud sebenar sunnah yang luas. Mereka seolah-olah menggambarkan Islam ini sebagai sebuah agama yang sempit atau ritual, yang hanya semata-mata melibatkan sunnah dalam ibadah khususiah, sedangkan Islam itu sifatnya luas lagi sempurna, merangkumi akidah yang benar, pemikiran yang bernas, tindakan yang bersifat profesional, akhlak yang mulia, dan lain-lain. Inilah gambaran Islam dalam erti kata sebenar.

Ada begitu bertegas dan lantang dalam mengatakan ‘ini bid’ah itu bid’ah’ (melibatkan ibadah khususiah), ‘sunnah begini bukan begitu’, namun pada masa yang sama mereka tidak sunnah dalam mendidik diri dan orang terdekat. Mereka hanya menumpukan kepada agenda memberiTAHU (tashfiyyah) akan hukum-hakam, sehingga mengabaikan sunnah untuk mentarbiyyah diri mereka sendiri serta targeted mad’u mereka (yakni mencetuskan bukan setakat tahu, tetapi juga rasa MAHU beramal soleh, MAHU dan MAMPU berdakwah). Sebagai contoh, ada yang anak perempuannya berpakaian tidak menutup aurat, ada yang menghisap rokok, ada yang mengabaikan keselamatan ketika memandu (ex: tak memakai seat belt), ada yang malas dalam mengulangkaji subjek sains yang diambilnya, ada yang meninggalkan atau berat kaki untuk solat berjamaah, ada yang malas bangun bersolat berjemaah subuh di surau, ada yang teruk bacaan al-Qurannya lantaran jarang menyentuh kitab panduan kehidupan di dunia dan di akhirat tersebut apatah lagi membacanya, ada yang mendengar muzik-muzik mengarut (mengkritik nasyid Malaysia sebagai tidak islamik, tapi pada masa yang sama mendengar muzik artis barat yang mengarut), ada menghabiskan berjam-jam bermain video game, ada penyepah orangnya, ada yang tidak bersikap profesional dalam urusan niaga, ada yang keras membatu hatinya, ada yang seribu macam ragamnya lagi.

Sikap-sikap sebeginilah yang ditegur para tokoh dan ilmuwan Islam seperti Hafiz Firdaus Abdullah, Dr. Mohd Asri, bahkan tokoh Salafi yang seringkali dilaung-laungkan abad ini, yang sering dijadikan rujukan, al-Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani:

“Dan sekarang ini saya melihat sebuah masalah besar yang sedang melanda sebahagian salafiyyun yang telah Allah berikan nikmat berupa petunjuk ke jalanNya yang lurus, iaitu mengikuti al Kitab dan al Sunnah, mereka (di berbagai negeri Islam) kebanyakan lebih mementingkan masalah tashfiyyah (pemurnian) daripada tarbiyyah (pembinaan). Dan ini berakibat dari penyimpangan- penyimpangan akhlak dalam bermuamalah. ...Dan harus diakui bahawa ini adalah satu kekurangan (yang harus diperbaiki).

…sayang sekali apabila masalah yang sangat besar ini kita abaikan, sementara kita sibuk membenarkan/ meluruskan masalah-masalah hukum saja dan membiarkan kaum muslimin berada dalam kesesatan yang nyata.”

(Lihat: Muhammad Nashiruddin al-Albani, Fatawa al-Madinah al-Munawwarah, Edisi terjemahan Fatwa2 Syaikh Nashiruddin al Albani terbitan Media Hidayah, m/s 121)

“Satu arus mutakhir yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa jua yang bersikap jujur terhadapnya dirinya adalah arus kesungguhan umat Islam untuk mempelajari dan mempratikkan sunnah Rasulullah SAW…terdapat satu bab daripada sunnah Rasulullah SAW yang tertinggal, atau sekurang-kurangnya jarang diberi perhatian…” (Lihat: Hafiz Firdaus Abdullah, Himpunan Risalah Beberapa Persoalan Ummah Buku 5, terbitan Jahabersa, m/s 153-154. Beliau ada memberikan contoh-contoh lain selain yang saya sebutkan di atas, jadi sila lihat rujukan yang diberikan).

Di suatu kelompok yang lain pula, ada yang mengaku diri mereka sebagai ‘cabang/wakil serta mendapat tarbiyyah berkonsepkan ikhwan’, tetapi melupakan agenda tashfiyyah (purification) dalam dakwah mereka. Ada yang memulakan dakwah mereka dengan mengenalkan mad’u mereka kepada kepentingan beramal-jamaie, kepentingan berdakwah, kepentingan menjaga hati, kepentingan berusrah dan berteori menyampai tentang Islam tanpa merujuk pemahaman dari salaf al-soleh. Skop dakwah mereka hanya tertumpu pada agenda menarik orang untuk bersama-sama menyertai kelompok mereka. Mereka hanya tahu berteorika tentang ‘menyebarkan risalah Islam’, sedangkan akidah dan ibadah mereka belum lagi benar-benar islam.

Dalam proses menyampaikan ilmu, ramai yang melupakan untuk mengkaji subjek yang akan disampaikannya. Ada yang menganggap dirinya mampu menafsir al-Quran tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab tafsir, mampu memahami hadis-hadis Rasulullah tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab syarah dan mampu membuat hukum tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab fiqh. Semua ini adalah sikap yang akan menyebabkan seseorang itu melakukan banyak kesilapan dalam usahanya untuk memahami agama Islam.

Jika dilihat, buku-buku yang dibaca atau dibeli mereka hanya terbatas pada yang bersifat tazkiyyatun nafs, fiqh al-dakwah, harakah islamiyyah, manhaj tarbiyyah, usrah/halaqoh, fiqh daulah dan seumpamanya (Tidak pernah wujud pun minat dan keinginan untuk membeli buku-buku seperti Sifat Shalat Nabi SAW karya albani, Fiqh Thaharah karya al-Qaradhawi, Aqidah Ash-Shahihah karya Ibn Baz dan seumpamanya) . Mereka terlupa yang Islam juga adanya akidah dan ibadah yang sahih (benar).

Lantas janganlah hairan jika anda melihat ada yang mengaku sebagai ‘pejuang Islam’ tetapi begitu pantas menyebarkan fitnah dan khabar berita tanpa ada unsur periksa (Lihat Surah 49:6), ada yang sebegitu pantas dalam menjawab kemusykilan mad’unya atau tergelinicir dalam berfatwa, akidahnya tidak benar (Lihat: Abd Aziz B As-Sayyid A’id Nada, Syarah Aqidah Ash-Shahihah, Edisi tejemahan oleh Pustaka As-Sunnah sebagai kajian), ada yang ibadah khususiahnya bukan saja tidak benar, bahkan tidak termasuk dalam ruang lingkup khilaf yang diiktiraf oleh Islam (Lihat: Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Membela Islam: Tanggungjawab & Disipilin, tebitan Karya Bestari, m/s 75), ada yang menggunakan sumber-sumber yang palsu atau tidak diketahui kebenarannya, ada yang fanatik dan menjadi blind follower, ada yang sebegitu pantas untuk menjadi pengulas pada sesuatu isu, dan ada yang menjadikan jamaah sendiri sebagai agama.

“Hizbiyyah ini menjadikan seseorang taksub kepada jamaah sehingga tidak mahu menilai sesuatu keputusan yang dikeluarkan jemaahnya, betul atau salah dengan nas-nas agama. Hanya berdasarkan falsafah ‘keputusan jemaah’ atau ‘keputusan syura’, sekalipun menyanggahi nas. Inilah sikap hizbiyyah atau ‘asabiyyah yang tercela.”

“Sikap ini yang menyelewengkan banyak pihak dari berdakwah kepada inti al-Quran dan al-Sunnah, bertukar menjadi dakwah menyertai jemaah….sukar menerima amal Islami yang tidak berada di bawah arahan jemaahnya.”

“…menjadikan sebahagian manusia lebih mementingkan label dan jenama kumpulan lebih dari isi kandungan seruan Islam yang dibawa. Tahap ukhuwwah diukur dengan jenama berkenaan, apabila berbeza jemaah, maka berbezalah tahap ukhuwwah…”

(Lihat; Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Arus Tajdid; Fikrah Merentasi Jamaah, Tebitan Karya Bestari, m/s 12-17)

Aktiviti hanya dibataskan kepada sesuatu yang yang berkaitan jamaah. Seseorang ahli tidak akan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh jamaah lain sekalipun dia memiliki kelapangan. Ahli jamaah telah melalui satu proses tarbiyyah (pendidikan) sehingga berkeyakinan segala yang dibawa jamaahnya dalah yang terbaik tanpa perlu dipertikaikan lagi. Larangan dikeluarkan untuk tidak menghadiri kuliah-kuliah agama yang disampaikan penceramah yang tidak berasal dari jamaah yang sama. Keinginan untuk belajar tentang menjadi kursus-kursus (tamrin) tentang jamaah, menghafal silibus jamaah, dibasuh untuk tetap setia kepada jamaah (wala! Wala!) dan diterapkan keyakinan untuk mengunggulkan jamaah sendiri ke atas jamaah-jamaah lain.

(Lihat: Hafiz Firdaus Abdullah, Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah Buku 5, Tebitan Jahabersa, m/s 118-135 untuk rujukan lanjut)

Islam Agama Logik? : Jauhi Persangkaan (Agak-Agak)

“ Ala , fikir logik aje, Pendidikan Islam kan macam tu. Apa-apa yang nampak baik dan positif itulah Islam. Senang jelah.”
Pastinya anda pernah mendengar kata-kata sebegini semasa berada di bangku sekolah menengah. Sebahagian dari kita membawa pemahaman sebegini sehingga dewasa dan beranak cucu. Jika dianalisis, ungkapan sebegini yang menjadikan persangkaan sebagai teras pemahamannya, ternyata ia satu amalan dan pemahaman yang dibenci Islam.

“Persangkaan itu sedikit pun tidak bermanfaat bagi kebenaran.” (Surah An-Najm, 53:28)

“Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk lepada kaum yang zalim.” (Surah al-An’am, 6:144)

“…dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan sesuatu terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak ketahui.” (Surah al-‘Araf, 7:33)

“Jauhilah olehmu sekalian persangkaan, kerana persangkaan itu adalah perkataan yang paling dusta.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ramai daripada kita cuba berlagak menjadi mufti tatkala diajukan sesuatu persoalan. Ramai daripada kita yang cuba berlagak menjadi penganalisis Islam tatkala mengulas sesuatu isu. Ada yang hanya berbekalkan ‘pengalaman menyertai usrah/halaqoh’ dan pembacaan yang sedikit sudah mempunyai keberanian untuk ‘menempah tiket ke neraka’ padahal jawapan yang diberikan hanya dibina berdasarkan ‘agak-kan’ dan ‘sangkaan’ semata. “Ini haram, itu haram”, “Ana rasa begini jawapannya”, “Islam ajar kita begini, bukan begitu”, “Puak tu ‘wahabi’ ” dan lain-lain. Inilah kalimah-kalimah yang seringkali diucapkan. Jika diminta dalil atau rujukan yang tsabit nescaya mereka tidak mampu mengeluarkannya.

“Sesiapa yang berfatwa tanpa dasar ilmu, maka dosanya ditanggung oleh orang berfatwa itu.” (HR. Ahmad dan Ibn Majah)

(Lihat: Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fatwa: Antara Ketelitian dan Kecerobohan, Terbitan Thinker’s Library, m/ 13)

“…di mana orang yang tidak berilmu berani memberikan fatwa, dengan modal kejahilan dan keberanian semata-mata, pengalaman yang sedikit dan pengetahuan yang dangkal…Pengetahuannya tentang al-Quran dan al-Sunnah dan ilmu-ilmu ulama salaf sangat cetek dan dangkal.. ?”

(Lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilamul Muwaqq’in, Edisi Terjemahan Panduan Hukum Islam tebitan Darul Fajr)

Maka lihatlah berapa banyaknya tercetusnya permusuhan, kesesatan, dan salah faham hasil dari krisis hilangnya ‘kegementaran’ untuk berfatwa. ‘Isu bin Abdullah’ (untuk mendapat maklumat yang tepat dalam isu ini rujuk drmaza.com), “para sahabat buat amal sedikit dah masuk syurga, jadi kita bolehlah kita bermalas-malasan”, rambut terjurai ke dahi ketika sujud tidak sah solat (Lihat: Imam al-Syaukani, Nail al-Authar, Edisi terjemahan terbitan Victorie Agencies. Juga lihat: Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Solat Nabi SAW, Edisi terjemahan terbitan Media Hidayah, m/s 175), orang yang tiada anak tidak boleh/ tak betul dari segi bahasa sekiranya menggunakan kunyah (nama gelaran); sedangkan Nabi SAW memanggil adik pada Anas B Malik sebagai ‘Abu Umair’ (Rujuk: Dr. Mohd Asri Zainul VCD Rakaman Kuliah ‘Menjadi Perempuan Solehah’, Terbitan DakwahNiaga) , bila non-muslim beri salam orang Islam kena jawab “’alaika sam” yakni Racun/Kematian ke atas kamu dan lain-lain.

Faqih (Faham) tapi Tawadhuk (Rendah Diri)

Seorang pendakwah haruslah lebih extra amal solehnya, haruslah benar kefahamannya, bersih akidahnya, haruslah profesional tindakannya, juga tidak membataskan ilmu hanya kepada satu-satu aspek sahaja. Ingatlah pesan al-Imam al-Syafie:

“Jadi faqih atau sufi, jangan ambil satu-satu! Hati-hati ku pesan, jangan jadi begitu…yang ini keras, hatinya tak pernah mengenyam taqwa, yang ini jahil, apa mungkin jahil boleh lurus suatu perkara? ”

Para pendokong gerakan tajdid hendaklah mewarisi tugas Rasulullah s.a.w ini dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Namun, mereka harus sedar bahawa pembersihan jiwa ini takkan terlaksana tanpa tashfiyyah. Ilmu juga takkan wujud dengan sempurna tanpa tarbiyyah. Oleh itu, tashfiyyah dan tarbiyyah merupakan 2 perkara yang saling berkait rapat antara satu sama lain serta tidak boleh dipisahkan bagi setiap pendokong gerakan tajdid.

(Lihat: Mohd Yaakub Mohd Yunus, 25 Persoalan Semasa; Huraian dan Penyelasaian, Terbitan Jahabersa, m/s 229)

Wallahu Ta’ala a’lam,

Ibn Mustoffa Dzul Riyhayn
Undergraduate Student,
B.App.Sc in Biology (Agrobiology)
University Science of Malaysia.

No comments: